Skip to main content

Tiruppan Alvar

Tuhan mencintai pemuja setia-Nya. Tuhan akan melakukan apa-apa sahaja untuk mencurahkan rahmat kepada pencinta-Nya. Inilah yang berlaku dalam kisah Tiruppan Alvar. 

Uraiyur di kerajaan Chola ialah tempat lahir Tiruppan Alvar. 

Pada asalnya, Tiruppan Alvar dikenali sebagai Panar. Ini kerana, dia dibesarkan oleh seorang berkasta Panar (penyanyi) yang baik hati. 

Sungai Kaveri mengalir berhampiran kediaman Panar. Setiap hari, Panar bermandi di sungai Kaveri. Selepas itu, dia akan duduk di tebing sungai itu sambil memainkan Yalh (sejenis peralatan muzik) dan menyanyikan lagu-lagu suci memuji Sri Ranganatha. Disebabkan kastanya, dia tidak dapat memasuki kuil untuk melihat Tuhan. Namun, hatinya penuh dengan cinta pada Tuhan. Setiap hari, dia mempersembahkan lagu-lagu suci kepada Tuhan. 

Keenakan muzik dan cinta Tiruppan Alvar yang mendalam untuk Tuhan menarik perhatian penduduk di tempat itu. Mereka mula memanggilnya sebagai 'Tiruppan Alvar'. 

Lokasaranga Muni ialah seorang sami kuil Sri Rangam. Setiap hari, Lokasaranga membawa air sungai Kaveri untuk upacara Abhisekam (upacara memandikan Tuhan) di kuil Sri Rangam. Lokasaranga juga amat menyintai Tuhan dan melakukan kerja sami dengan penuh kebaktian. 

Pada suatu hari, seperti biasa Lokasaranga sedang dalam perjalanan membawa air sungai Kaveri ke kuil. Ketika itu, Panar sedang menyanyikan lagu-lagu suci dan melupakan dirinya. Dia langsung tidak mendengar apabila Lokasaranga memintanya untuk memberi lalu. 

Melihat Panar enggan memberi lalu, Lokasaranga menjadi marah. Seperti hilang akal, dia mengambil seketul batu dan melontarnya ke arah Panar. Kepala Panar terluka dan darah mula mengalir. Ketika itu, Panar tersedar diri dan membuka matanya. Tanpa mengendahkan kecederaannya, Panar memohon maaf dan meninggalkan tempat itu dengan serta-merta.

Lokasaranga tiba di kuil. Peliknya, pintu kamar utama tertutup dari dalam. Dia cuba untuk membuka pintu itu tetapi tidak berjaya. Semua sami-sami lain berkumpul di luar pintu itu. Mereka berasa amat takut dan kagum melihat pintu tertutup dari dalam. Mereka tertanya-tertanya apakah yang menyebabkan kejadian pelik itu. 

Lokasaranga sedar bahawa dia mesti telah melakukan sesuatu kesalahan besar yang Tuhan tidak suka. Dia berdoa dengan bersungguh-sungguh memohon maaf daripada Tuhan. 

Ketika itu, suatu suara kedengaran dari dalam kamar utama kuil. "Lokasaranga! Pemain Yalh itu adalah pemuja setia-Ku. Kau telah memukulnya dengan batu dan melukakan kepalanya. Kau harus menjunjungnya atas bahu mengelilingi kuil ini. Selepas itu, bawa orang itu kepada-Ku. Hanya selepas itu, akan-Ku buka pintu kamar ini," Tuhan berkata. 

Lokasaranga memecut ke arah sungai Kaveri. Melihat Tiruppan Alvar di tebing sungai itu, Lokasaranga sujud hormat dan memohon maaf. Tiruppan Alvar berasa agak malu dengan kelakuan Lokasaranga. Dia menjelaskan bahawa dia yang bersalah kerana tidak memberi lalu. 

Lokasaranga mengangkat Alvar dan menjunjungnya di atas bahu, lalu membawanya ke kuil. Oleh kerana seorang sami mengangkutnya di atas bahu, sejak itu, Tiruppan Alvar dipanggil sebagai 'Muni Vahanar' (seorang yang mempunyai sami sebagai kenderaannya). 

Setibanya di kuil, Lokasaranga menurunkan Alvar dengan perlahan-lahan. Dengan serta-merta, pintu kamar utama kuil terbuka. Semua orang melihat Sri Ranganatha dan berdoa. Tiruppan Alvar tidak dapat menahan air mata kegembiraannya. Melihat Sri Ranganatha buat pertama kali, dia mula menyanyikan ayat-ayat suci yang bermula dengan 'Amalanadipiran'. Hatinya telah penuh. Dia tidak ingin apa-apa lagi selepas melihat Tuhan yang dicintainya. 

Pengajaran: 
Orang yang mencintai Tuhan memang berahmat. Apa sahaja kesusahan dalam hidupnya, dia akan mengharunginya dengan tabah. Suka duka kehidupan tidak akan menganggu atau mengurangkan cintanya pada Tuhan. 

Comments

Popular posts from this blog

Pusalar

Tuhan mendengar kata hati yang suci. Kisah Pusalar menunjukkan bagaimana Tuhan mendengar niat pemuja-Nya dan mencurahkan rahmat-Nya.  Pada suatu masa dahulu, Tiruninravur terkenal dengan pendeta-pendeta yang mahir dalam sastera Aagama. Segala ilmu pembinaan kuil Hindu dan pemujaan kuil terkandung dalam Aagama.  Pusalar ialah seorang pendeta miskin di Tiruninravur. Dia telah mempelajari ilmu membina kuil. Jadi tidak hairanlah apabila dia bercita-cita untuk mendirikan sebuah kuil Siva. Kemiskinan tidak membenarkannya memenuhi hasrat hatinya.  Pusalar tidak berputus asa. Dia meneruskan impiannya dengan membina sebuah kuil Siva dalam hatinya. Dengan penuh Bhakti, Pusalar membentuk sebuah kuil yang besar lagi hebat. Apabila kuil itu sempurna, Pusalar menetapkan satu tarikh untuk upacara perasmian kuil di hatinya!   Sementara itu, Rajasimha, raja dinasti Pallava telah menyiapkan pembinaan kuil Kailasanatha di Kanchipuram. Tarikh perasmian kuil itu ditetapkan dan segala pe

Atipathar

  Semua orang, tanpa menggira taraf atau darjat, layak untuk menjadi pencinta Tuhan. Tuhan hanya melihat Bhakti dalam hati kita.  Kisah Atipathar Nayanar membuktikan kebenaran ini.  Atipathar ialah seorang nelayan miskin. Dia berusaha untuk berkhidmat kepada Tuhan dengan melepaskan seekor ikan ke dalam laut daripada tangkapan hariannya. Tuhan menerima apa-apa sahaja yang diberikan oleh seorang pencinta-Nya yang setia.  Setiap hari, selepas menangkap ikan, Athipathar melepaskan seekor ikan  sebagai persembahan kepada Tuhan. Dengan baki tangkapannya, dia meneruskan kehidupannya dengan puas hati.  Beberapa lama kemudian, Atipathar tidak dapat menangkap walau seekor ikan pun. Setiap hari, dia pulang ke rumah dengan tangan kosong. Badannya menjadi kurus kering akibat kebuluran. Dengan berserah kepada Tuhan, Atipathar meneruskan hidupnya.  Beberapa hari kemudian, seekor ikan besar tersangkut pada jala Atipathar. Ikan itu kelihatan amat pelik. Kulitnya berkilau dengan batu

Nachiketa

Orang-orang Hindu mengutamakan kebenaran lebih daripada kehidupan. Kisah Nachiketa ialah kisah seorang remaja yang berani berhadapan dengan Dewa Maut demi memenuhi kata-kata bapanya!  Nachiketa ialah anak Vajashrava, seorang kaya. Vajashrava melakukan sebuah upacara Yajna (korban) untuk mendapatkan rahmat dewa-dewa. Bagi menyempurnakan upacara korban itu, dia perlu mendermakan segala hartanya kepada orang-orang Brahmin.  Namun, Vajashrava seorang yang tamak. Dia mendermakan lembu-lembu yang tua, cacat, dan tidak berguna. Hati Nachiketa menjadi kecut melihat lembu-lembu yang tidak berguna didermakan. Tidakkah bapanya tahu bahawa hanya sesuatu yang berguna harus didermakan? Perbuatan mendermakan benda-benda buruk adalah suatu dosa. "Aku harus menyelamatkan ayah daripada dosa ini," fikir Nachiketa.  Dengan sopan, Nachiketa menghampiri bapanya dan bertanya, "Ayah, kepada siapakah ayah akan mendermakan saya?" Pada mulanya, Vajashrava mengabaikan p