Skip to main content

Pusalar

Tuhan mendengar kata hati yang suci. Kisah Pusalar menunjukkan bagaimana Tuhan mendengar niat pemuja-Nya dan mencurahkan rahmat-Nya. 

Pada suatu masa dahulu, Tiruninravur terkenal dengan pendeta-pendeta yang mahir dalam sastera Aagama. Segala ilmu pembinaan kuil Hindu dan pemujaan kuil terkandung dalam Aagama. 

Pusalar ialah seorang pendeta miskin di Tiruninravur. Dia telah mempelajari ilmu membina kuil. Jadi tidak hairanlah apabila dia bercita-cita untuk mendirikan sebuah kuil Siva. Kemiskinan tidak membenarkannya memenuhi hasrat hatinya. 

Pusalar tidak berputus asa. Dia meneruskan impiannya dengan membina sebuah kuil Siva dalam hatinya. Dengan penuh Bhakti, Pusalar membentuk sebuah kuil yang besar lagi hebat. Apabila kuil itu sempurna, Pusalar menetapkan satu tarikh untuk upacara perasmian kuil di hatinya!  

Sementara itu, Rajasimha, raja dinasti Pallava telah menyiapkan pembinaan kuil Kailasanatha di Kanchipuram. Tarikh perasmian kuil itu ditetapkan dan segala persediaan dilakukan untuk merasmikan kuil itu dengan penuh kemegahan. 

Pada suatu malam, Tuhan muncul dalam mimpi Rajasimha dan berkata: "Besok Aku akan sibuk dengan perasmian kuil Pusalar. Sila tunda perasmian kuil kamu ke tarikh lain." 

Dalam kebingungan, Rajasimha menunda upacara perasmian kuil di Kanchipuram. 

"Tentu kuil Pusalar lebih besar dan menakjubkan daripada kuil ini. Beta harus melihat kuil itu," fikir Rajasimha. 

Rajasimha mula mencari Pusalar dan akhirnya, tiba di Tiruninravur. Namun, tiada sebarang kuil baru di situ. 

Dengan hairan, Rajasimha menyoal Pusalar mengenai kuilnya. 

Pusalar terkejut mendengar kata-kata Rajasimha. "Oh, saya hanya membina sebuah kuil dalam imaginasi! Adakah Tuhan benar-benar mendengar kehendak hati saya?" 

Rajasimha tercegat kagum dengan Bhakti dan kehebatan pendeta miskin itu.

Pengajaran:
Tuhan melihat fikiran kita dan mendengar setiap kata hati kita. 
Tuhan menerima pemujaan dan Bhakti dalam hati kita. 

Comments

Popular posts from this blog

Nachiketa

Orang-orang Hindu mengutamakan kebenaran lebih daripada kehidupan. Kisah Nachiketa ialah kisah seorang remaja yang berani berhadapan dengan Dewa Maut demi memenuhi kata-kata bapanya!  Nachiketa ialah anak Vajashrava, seorang kaya. Vajashrava melakukan sebuah upacara Yajna (korban) untuk mendapatkan rahmat dewa-dewa. Bagi menyempurnakan upacara korban itu, dia perlu mendermakan segala hartanya kepada orang-orang Brahmin.  Namun, Vajashrava seorang yang tamak. Dia mendermakan lembu-lembu yang tua, cacat, dan tidak berguna. Hati Nachiketa menjadi kecut melihat lembu-lembu yang tidak berguna didermakan. Tidakkah bapanya tahu bahawa hanya sesuatu yang berguna harus didermakan? Perbuatan mendermakan benda-benda buruk adalah suatu dosa. "Aku harus menyelamatkan ayah daripada dosa ini," fikir Nachiketa.  Dengan sopan, Nachiketa menghampiri bapanya dan bertanya, "Ayah, kepada siapakah ayah akan mendermakan saya?" Pada mulanya, Vajashrava mengabaikan p...

Manikkavasagar

Tuhan turun dalam rupa Guru untuk mengajar Kebenaran atau Ilmu Rohani kepada orang yang benar-benar mencari-Nya. Kisah Manikkavasagar ialah kisah di mana Tuhan Sendiri menjelma sebagai Guru untuk memberikan Ilmu Rohani kepada pencinta-Nya.  Manikkavasagar lahir di Madurai. Selepas menamatkan pendidikan Veda, dia menjadi menteri di istana raja Pandian. Sebagai menteri yang amat dipercayai oleh raja, Manikkavasagar menikmati segala keseronokan dan kemewahan istana. Namun, Manikkavasagar tidak melupakan diri dalam keseronokan. Dia sedar bahawa segala nikmat duniawi adalah sementara sahaja. Dia juga sedar bahawa bagi mencapai Kebebasan abadi, semua ikatan duniawi perlu dilepaskan. Hatinya merindui Tuhan dan mencari seorang Guru yang dapat memberinya Ilmu Rohani. Namun, tiada seorang Guru pun yang dapat memberinya ilmu yang sebenar.  Pada suatu hari, sebuah kapal sedang berlabuh di kerajaan sebelah. Kapal itu membawa kuda-kuda yang bagus dari negara asing. Apabila ...