MENGHAPUSKAN UPACARA KORBAN
Pada zaman itu, tinggal seorang Brahmin yang kejam bernama
Jaraghatita. Dia melakukan upacara korban haiwan. Dia juga menggunakan minuman
keras dalam upacara sembahyang. Perbuatan-perbuatan ini bercanggah dengan
ajaran Veda dan Vedanta.
Madhva mencabar Jaraghatita untuk membuktikan amalan
agamanya dengan menggunakan teks-teks Veda. Dalam khalayak ramai, mereka
berdebat dengan hangat. Akhirnya, Madhva mengalahkan fahaman Jaraghatita.
Madhva membuktikan bahawa upacara korban haiwan adalah bercanggah dengan ajaran
sebenar Veda.
Selepas itu, Madhva memperkenalkan tradisi pemujaan
yang baru. Dia juga menghapuskan upacara korban haiwan.
BERHADAPAN DENGAN PEMERINTAH TURKI
Pada suatu ketika, Madhva terpaksa merentasi sungai
Ganges. Tebing bertentangan berada di bawah pentadbiran seorang pemerintah
Turki. Askar-askar Turki menghalang Madhva merentasi sungai di tempat itu.
Madhva tidak mengendahkan mereka.
Dengan berani, dia cuba merentasi sungai itu. Namun, askar-askar
Turki berjaya menangkapnya. Mereka membawanya menghadap pemerintah mereka.
“Saya menyembah Tuhan yang mencipta seluruh alam ini.
Kamu juga begitu. Jadi mengapakah saya perlu berasa takut?” tanya Madhva kepada
pemerintah Turki itu.
Orang Turki itu terpegun dengan kata-kata Madhva. Dia meminta
Madhva untuk tinggal di negerinya. Dia juga menawarkannya banyak harta benda.
Madhva menolak tawaran itu dan meneruskan perjalanannya.
RAJA YANG ZALIM
Raja Isvara Deva ialah seorang pemerintah di kawasan
India utara. Baginda seorang pemerintah yang zalim. Sesiapa yang hendak
merentasi kawasan itu perlu melakukan kerja menggali tanah.
Pada suatu ketika, Madhva hendak merentasi kawasan raja
itu. Dia juga diarahkan untuk menggali tanah. Madhva meminta raja itu untuk
mengajarnya cara untuk menggali tanah.
“Hamba tidak pernah menggali tanah. Silakan tuanku ajar
hamba cara untuk menggali tanah,” kata Madhva.
Raja Isvara Deva mengangkat cangkul dan menunjukkan cara
menggali. Peliknya, baginda tidak dapat berhenti menggali! Tangan baginda
seolah-olah melekat pada cangkul dan memaksa baginda terus menggali.
Madhva mengambil kesempatan itu dan beredar dari sana.
Apabila dia telah pergi jauh, barulah raja dapat menghentikan kerja menggali
tanah!
Comments
Post a Comment