Skip to main content

Tirumalhisai Alvar

Di Tiruvekka, di Tamil Nadu, tinggal seorang alim bernama Tirumalhisai Alvar. Dia mempunyai seorang anak murid bernama Kanikannan. 

Seorang perempuan tua tinggal berdekatan kediaman Alvar. Perempuan itu melakukan kerja-kerja mencuci, membersihkan, dan menghiasai halaman rumah dengan melukis 'Kolam'. Alvar amat berpuas hati dengan kerja-kerja perempuan itu. Dia memberkati perempuan itu dan dengan kesaktiannya, Alvar menjadikan perempuan itu muda dan cantik. 

Kecantikan wanita itu menarik perhatian seorang raja. Lalu raja berkahwin dengan wanita itu dan membawanya ke istana. Apabila raja mendapat tahu tentang rahsia kejelitaan wanita itu, baginda juga ingin untuk menjadi muda. Raja bertitah kepada Kanikannan untuk membawa Alvar ke istana. Kanikanna menjawab bahawa gurunya, tidak akan datang ke istana. Tanpa sebarang pilihan lain, akhirnya, raja itu memutuskan untuk melawat Tirumalhisai Alvar. Kanikannan berkata bahawa usaha raja akan sia-sia. 

Raja itu menjadi hampa kerana tidak dapat memujuk Alvar untuk memberikannya keremajaan. 
Para menteri memberitahu raja bahawa Kanikannan sendiri seorang alim yang amat berkuasa dan dapat melakukan pelbagai keajaiban. Mereka menasihatkan raja untuk menggunakan Kanikannan bagi memenuhi niat baginda. 

Pada keesokan harinya, raja bertitah kepada Kanikannan untuk menyanyikan sebuah puisi suci untuk menjadikan baginda muda. 

Kanikannan dengan tegas menolak titah baginda. "Saya hanya bernyanyi untuk memuja Tuhan. Saya tidak boleh menyanyikan apa-apa lagu lain memuji manusia biasa," kata Kanikannan. 

Raja terus mendesaknya. Akhirnya, Kanikannan menyanyikan sebuah lagu memuji kemuliaan pekan Kanchipuram. 

Mendengar lagu itu yang memuji pekan Kanchipuram, raja menjadi murka. Baginda menjatuhkan hukuman buang negeri ke atas Kanikannan. 

Tirumalhisai Alvar mendengar khabar bahawa anak muridnya, Kanikannan telah dibuang negeri. Alvar memutuskan untuk meninggalkan Kanchipuram bersama Kanikannan. Sebelum bertolak, Alvar menyanyikan sebuah puisi suci meminta Tuhan di kuil Tiruvekka untuk mengikut bersamanya.
              Kanikannan pogindran kamaru punkacchi
              Manivanna ni kidakka venda - tunivudaiya
             Sennap pulavanum selgindren neeyum undan
             Painnagap pay curuttik kol! 
          Kanikannan sedang meninggalkan tempat ini.                           
         Saya juga akan mengikutnya.
        Marilah bersama kami dengan menggulung tikar-ular-MU!            

Tuhan dengan serta-merta mematuhi suruh Alvar dan mengikut Alvar. Sri Mahalakshmi turut mengikut Tuhan. Melihat kejadian ini, semua dewa-dewi menyertai mereka dan meninggalkan Kanchipuram. Seluruh pekan Kanchipuram menjadi gelap dan suram. 

Raja sedar bahawa baginda telah melakukan kesalahan besar. Baginda bertolak mencari Alvar dan sampai di 'Or Iravu Irukkai' (kini dikenali sebagai 'Orikkai'). Alvar sedang berehat di sana. 

Raja sujud di hadapan Alvar dan memohon maaf. Baginda merayu agar Alvar kembali ke Kanchipuram. 

Alvar berpuas hati dengan kata-kata raja dan menyanyikan sebuah lagu meminta Tuhan untuk kembali ke Kanchipuram. 

Kemudian, Alvar dan Kanikannan pulang ke Tiruvekka. Tuhan dan semua dewa-dewi lain kembali ke kuil Tiruvekka. 

Oleh kerana Tuhan mematuhi kata-kata pemuja setia-Nya, Tuhan di Tiruvekka dikenali sebagai 'Yathoktakari - Sonna Vannam Seyda Perumal' (Tuhan yang bertindak mengikut kehendak pemuja-Nya). 

Semua penduduk Kanchipuram memuji cinta Alvar untuk Tuhan. Raja juga telah mendapat pengajaran! Sejak itu, raja itu menghormati orang-orang alim. Pekan Kanchipuram menjadi makmur. Penduduk di situ hidup dengan bahagia. 

Pengajaran: 
Tuhan amat menyayangi orang-orang alim yang memuja-Nya dengan setia dan tanpa mengharap balasan. 

Orang yang mencintai Tuhan tidak perlu takut atau khuatir pada sesiapapun. Apa jua yang berlaku, Tuhan akan melindungi orang yang mencintai-Nya. 




Comments

Popular posts from this blog

Pusalar

Tuhan mendengar kata hati yang suci. Kisah Pusalar menunjukkan bagaimana Tuhan mendengar niat pemuja-Nya dan mencurahkan rahmat-Nya.  Pada suatu masa dahulu, Tiruninravur terkenal dengan pendeta-pendeta yang mahir dalam sastera Aagama. Segala ilmu pembinaan kuil Hindu dan pemujaan kuil terkandung dalam Aagama.  Pusalar ialah seorang pendeta miskin di Tiruninravur. Dia telah mempelajari ilmu membina kuil. Jadi tidak hairanlah apabila dia bercita-cita untuk mendirikan sebuah kuil Siva. Kemiskinan tidak membenarkannya memenuhi hasrat hatinya.  Pusalar tidak berputus asa. Dia meneruskan impiannya dengan membina sebuah kuil Siva dalam hatinya. Dengan penuh Bhakti, Pusalar membentuk sebuah kuil yang besar lagi hebat. Apabila kuil itu sempurna, Pusalar menetapkan satu tarikh untuk upacara perasmian kuil di hatinya!   Sementara itu, Rajasimha, raja dinasti Pallava telah menyiapkan pembinaan kuil Kailasanatha di Kanchipuram. Tarikh perasmian kuil itu ditetapkan dan segala pe

Atipathar

  Semua orang, tanpa menggira taraf atau darjat, layak untuk menjadi pencinta Tuhan. Tuhan hanya melihat Bhakti dalam hati kita.  Kisah Atipathar Nayanar membuktikan kebenaran ini.  Atipathar ialah seorang nelayan miskin. Dia berusaha untuk berkhidmat kepada Tuhan dengan melepaskan seekor ikan ke dalam laut daripada tangkapan hariannya. Tuhan menerima apa-apa sahaja yang diberikan oleh seorang pencinta-Nya yang setia.  Setiap hari, selepas menangkap ikan, Athipathar melepaskan seekor ikan  sebagai persembahan kepada Tuhan. Dengan baki tangkapannya, dia meneruskan kehidupannya dengan puas hati.  Beberapa lama kemudian, Atipathar tidak dapat menangkap walau seekor ikan pun. Setiap hari, dia pulang ke rumah dengan tangan kosong. Badannya menjadi kurus kering akibat kebuluran. Dengan berserah kepada Tuhan, Atipathar meneruskan hidupnya.  Beberapa hari kemudian, seekor ikan besar tersangkut pada jala Atipathar. Ikan itu kelihatan amat pelik. Kulitnya berkilau dengan batu

Nachiketa

Orang-orang Hindu mengutamakan kebenaran lebih daripada kehidupan. Kisah Nachiketa ialah kisah seorang remaja yang berani berhadapan dengan Dewa Maut demi memenuhi kata-kata bapanya!  Nachiketa ialah anak Vajashrava, seorang kaya. Vajashrava melakukan sebuah upacara Yajna (korban) untuk mendapatkan rahmat dewa-dewa. Bagi menyempurnakan upacara korban itu, dia perlu mendermakan segala hartanya kepada orang-orang Brahmin.  Namun, Vajashrava seorang yang tamak. Dia mendermakan lembu-lembu yang tua, cacat, dan tidak berguna. Hati Nachiketa menjadi kecut melihat lembu-lembu yang tidak berguna didermakan. Tidakkah bapanya tahu bahawa hanya sesuatu yang berguna harus didermakan? Perbuatan mendermakan benda-benda buruk adalah suatu dosa. "Aku harus menyelamatkan ayah daripada dosa ini," fikir Nachiketa.  Dengan sopan, Nachiketa menghampiri bapanya dan bertanya, "Ayah, kepada siapakah ayah akan mendermakan saya?" Pada mulanya, Vajashrava mengabaikan p