Tuhan turun dalam rupa Guru untuk mengajar Kebenaran atau Ilmu Rohani kepada orang yang benar-benar mencari-Nya. Kisah Manikkavasagar ialah kisah di mana Tuhan Sendiri menjelma sebagai Guru untuk memberikan Ilmu Rohani kepada pencinta-Nya.
Manikkavasagar lahir di Madurai. Selepas menamatkan pendidikan Veda, dia menjadi menteri di istana raja Pandian. Sebagai menteri yang amat dipercayai oleh raja, Manikkavasagar menikmati segala keseronokan dan kemewahan istana.
Namun, Manikkavasagar tidak melupakan diri dalam keseronokan. Dia sedar bahawa segala nikmat duniawi adalah sementara sahaja. Dia juga sedar bahawa bagi mencapai Kebebasan abadi, semua ikatan duniawi perlu dilepaskan. Hatinya merindui Tuhan dan mencari seorang Guru yang dapat memberinya Ilmu Rohani. Namun, tiada seorang Guru pun yang dapat memberinya ilmu yang sebenar.
Pada suatu hari, sebuah kapal sedang berlabuh di kerajaan sebelah. Kapal itu membawa kuda-kuda yang bagus dari negara asing. Apabila mendengar khabar ini, Raja menghantar Manikkavasagar bersama pasukan askar dan harta untuk membeli kuda-kuda itu.
Manikkavasagar bertolak ke pelabuhan bersama pasukan askarnya. Apabila dia tiba berdekatan kawasan pantai, dia terdengar bunyi bacaan ayat-ayat suci dari sebatang pokok yang besar. Seorang Siva Yogi sedang duduk di bawah pokok itu bersama pengikut-pengikutnya.
Manikkavasagar menghampiri Siva Yogi itu dan memberi salam. Dia berasa amat tertarik dengan penampilan Siva Yogi itu dan merayu untuk menerimanya sebagai pengikut. Sebenarnya, Tuhan sendiri telah datang dalam rupa Siva Yogi untuk mengajar Manikkavasagar. Selepas menerima Mantra Diksha dan diterima sebagai pengikut Siva Yogi, Manikkavasagar menyerahkan kepada Gurunya segala harta yang dibawanya untuk membeli kuda.
Melihat keadaan Manikkavasagar, pasukan askar pulang ke istana dan melaporkannya kepada raja. Dengan marah, raja menghantar utusan kepada Manikkavasagar untuk pulang ke istana.
"Saya tidak tahu raja lain selain Tuhan,' jawab Manikkavasagar dan dia enggan untuk pergi ke istana. Namun, Tuhan meminta Manikkavasagar untuk pulang ke istana. Tuhan juga berjanji untuk menghantar kuda-kuda ke istana.
Manikkavasagar kembali ke istana dan menghadap raja. Pada mulanya raja mempercayai kata-kata Manikkavasagar bahawa dalam beberapa hari, kuda-kuda akan tiba. Namun, pegawai-pegawai lain menghasut raja dan akhirnya, Manikkavasagar dijatuhkan hukum penjara.
Tuhan menyedari keadaan Manikkavasagar. Dengan kuasa ajaibnya, Tuhan menukarkan sekumpulan serigala sebagai kuda. Beberapa orang dewa menyamar sebagai penjaga kuda dan membawa kuda-kuda itu ke istana. Raja berpuas hati melihat kuda-kuda yang cantik itu. Dengan serta-merta baginda bertitah untuk melepaskan Manikkavasagar. Kuda-kuda ditempatkan di dalam kandang.
Pada keesokan paginya, seluruh Madurai bangun dengan laungan serigala. Kuda-kuda jelmaan itu telah bertukar menjadi serigala. Dengan ganas, haiwan-haiwan itu menyerang kuda-kuda lain di kandang istana.
Raja sedar bahawa baginda telah diperdayakan. Sekali lagi, baginda menghantar pegawai-pegawainya untuk menangkap Manikkavasagar. Seperti banduan, seketul batu besar diikat pada belakang Manikkavasagar dan dia diheret ke istana. Manikkavasagar berserah kepada Tuhan dan berdoa.
Tuhan mendengar doa Manikkavasagar dan melepaskan air sungai Ganges. Seluruh bandar Madurai dilanda banjir.
Sekali lagi, raja menyedari kesalahan baginda dan membebaskan Manikkavasagar. Raja Pandian juga menyerahkan kerajaan baginda kepada Manikkavasagar. Apakah gunanya kerajaan atau kekayaan kepada seorang yang telah mendapat rahmat Tuhan?
Manikkavasagar tidak lagi berminat dengan apa-apa hal duniawi. Hidupnya hanya untuk Tuhan. Dia mula merantau ke seluruh Tamilakam sambil menyebarkan nama suci Tuhan. Akhirnya, dia tiba di kuil Chidambaram dan menghabiskan hari-hari terakhirnya.
Comments
Post a Comment