Skip to main content

Apputhi Adikal

Perkhidmatan kepada segala kehidupan ialah satu sikap yang sering diagungkan dalam agama Hindu. Perkhidmatan tanpa mengharap balasan kepada manusia dianggap sebagai perkhidmatan kepada Tuhan. Bukankah Tuhan berada dalam hati semua manusia? 

Apputhi Adikal ialah seorang pencinta Tuhan di Thingalur. Dia menghormati Tirunavukkarasar sebagai seorang pencinta yang tiada tandingan. Apputhi memulakan sebuah institusi kebajikan atas nama Tirunavukkarasar. Institusi itu melakukan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemanusiaan. Peliknya, Apputhi tidak pernah bertemu dengan Tirunavukkarasar! 

Pada suatu ketika, Tirunavukkarasar datang melawat Thingalur. Dia berasa amat hairan apabila mendapati kerja-kerja kebajikan dilakukan atas namanya. Dengan serta-merta, Tirunavukkarasar berjumpa dengan Apputhi dan memperkenalkan dirinya sebagai seorang pencinta Tuhan. Apputhi menjemputnya dengan gembira. 

Selepas berbual seketika, Apputhi sedar bahawa pencinta Tuhan itu ialah sebenarnya Tirunavukkarasar. Apputhi tidak dapat mengawal kegembiraannya. Dia menjemput Tirunavukkarasar untuk makan di rumahnya. 

Isteri Apputhi menyediakan pelbagai juadah yang sedap. Kemudian, dia menyuruh anak sulungnya untuk mendapatkan daun pisang dari kebun. Ketika anaknya memotong daun pisang, seekor ular mematuknya. Budak itu jatuh lalu nafasnya terhenti. 

Apputhi dan isterinya mengawal emosi mereka. Sambil mengelap air mata, mereka menyembunyikan mayat anak mereka di sebuah bilik.

Kemudian, mereka menjemput Tirunavukkarasar  untuk masuk ke dalam untuk makan. Sebelum makan, Tirunavukkarasar meminta Apputhi untuk memanggil anak lelakinya untuk makan bersamanya. 

Apputhi tidak dapat menolak kata-kata Tirunavukkarasar lalu dia menceritakan kejadian yang berlaku. Terpegun dengan ketabahan Apputhi, Tirunavukkarasar mengangkat mayat budak itu dan menyanyikan ayat-ayat suci. Racun ular keluar dari badan budak itu dan akhirnya, budak itu bangkit semula. 

Demikian, Apputhi mendapat kembali anaknya. 

Pengajaran: 
Orang yang berkhidmat tanpa mengharap balasan sesungguhnya seorang yang mengamalkan agama secara praktikal. 


Comments

Popular posts from this blog

Nachiketa

Orang-orang Hindu mengutamakan kebenaran lebih daripada kehidupan. Kisah Nachiketa ialah kisah seorang remaja yang berani berhadapan dengan Dewa Maut demi memenuhi kata-kata bapanya!  Nachiketa ialah anak Vajashrava, seorang kaya. Vajashrava melakukan sebuah upacara Yajna (korban) untuk mendapatkan rahmat dewa-dewa. Bagi menyempurnakan upacara korban itu, dia perlu mendermakan segala hartanya kepada orang-orang Brahmin.  Namun, Vajashrava seorang yang tamak. Dia mendermakan lembu-lembu yang tua, cacat, dan tidak berguna. Hati Nachiketa menjadi kecut melihat lembu-lembu yang tidak berguna didermakan. Tidakkah bapanya tahu bahawa hanya sesuatu yang berguna harus didermakan? Perbuatan mendermakan benda-benda buruk adalah suatu dosa. "Aku harus menyelamatkan ayah daripada dosa ini," fikir Nachiketa.  Dengan sopan, Nachiketa menghampiri bapanya dan bertanya, "Ayah, kepada siapakah ayah akan mendermakan saya?" Pada mulanya, Vajashrava mengabaikan p...

Pusalar

Tuhan mendengar kata hati yang suci. Kisah Pusalar menunjukkan bagaimana Tuhan mendengar niat pemuja-Nya dan mencurahkan rahmat-Nya.  Pada suatu masa dahulu, Tiruninravur terkenal dengan pendeta-pendeta yang mahir dalam sastera Aagama. Segala ilmu pembinaan kuil Hindu dan pemujaan kuil terkandung dalam Aagama.  Pusalar ialah seorang pendeta miskin di Tiruninravur. Dia telah mempelajari ilmu membina kuil. Jadi tidak hairanlah apabila dia bercita-cita untuk mendirikan sebuah kuil Siva. Kemiskinan tidak membenarkannya memenuhi hasrat hatinya.  Pusalar tidak berputus asa. Dia meneruskan impiannya dengan membina sebuah kuil Siva dalam hatinya. Dengan penuh Bhakti, Pusalar membentuk sebuah kuil yang besar lagi hebat. Apabila kuil itu sempurna, Pusalar menetapkan satu tarikh untuk upacara perasmian kuil di hatinya!   Sementara itu, Rajasimha, raja dinasti Pallava telah menyiapkan pembinaan kuil Kailasanatha di Kanchipuram. Tarikh perasmian kuil...

Manikkavasagar

Tuhan turun dalam rupa Guru untuk mengajar Kebenaran atau Ilmu Rohani kepada orang yang benar-benar mencari-Nya. Kisah Manikkavasagar ialah kisah di mana Tuhan Sendiri menjelma sebagai Guru untuk memberikan Ilmu Rohani kepada pencinta-Nya.  Manikkavasagar lahir di Madurai. Selepas menamatkan pendidikan Veda, dia menjadi menteri di istana raja Pandian. Sebagai menteri yang amat dipercayai oleh raja, Manikkavasagar menikmati segala keseronokan dan kemewahan istana. Namun, Manikkavasagar tidak melupakan diri dalam keseronokan. Dia sedar bahawa segala nikmat duniawi adalah sementara sahaja. Dia juga sedar bahawa bagi mencapai Kebebasan abadi, semua ikatan duniawi perlu dilepaskan. Hatinya merindui Tuhan dan mencari seorang Guru yang dapat memberinya Ilmu Rohani. Namun, tiada seorang Guru pun yang dapat memberinya ilmu yang sebenar.  Pada suatu hari, sebuah kapal sedang berlabuh di kerajaan sebelah. Kapal itu membawa kuda-kuda yang bagus dari negara asing. Apabila ...