Skip to main content

Amarneethiyar


Adakalanya ujian Tuhan terhadap kesetiaan pemuja-Nya melampaui segala batasan. Amarneethiyar dari Palayarai ialah seorang pencinta Tuhan yang berjaya dalam ujian kesetiaan ini. 

Amarneethiyar menjadi seorang pedagang. Dia terkenal sebagai seorang yang jujur dan dermawan. Dia sering memberi makanan dan pakaian kepada orang-orang alim. Dia juga telah membina sebuah tempat rehat untuk orang-orang yang melakukan lawatan suci di Tirunallur. 

Pada suatu hari, Tuhan sendiri muncul dalam rupa seorang alim. Tuhan memberikan sehelai kain cawat-Nya kepada Amarneethiyar untuk dijaga sementara Dia bermandi di sungai. Amarneethiyar menyimpan kain itu di dalam sebuah peti dan menguncinya. 

Selepas bermandi, Orang Alim itu kembali untuk menuntut kain cawat-Nya. Sungguh pelik! Kain itu tidak ada dalam peti! 

Selepas mencari di semua tempat dan gagal, Amarneethiyar menawarkan sehelai kain cawat baru sebagai ganti. Orang Alim itu enggan menerimanya dan mula mengamuk. "Kamu menyamar sebagai seorang pemuja Siva hanya untuk merompak pemuja-pemuja lain!" Orang Alim menyahut. 

Amarneethiyar berusaha untuk menenangkan Orang Alim itu dan memujuk-Nya untuk menerima kain cawat baru. Akhirnya, Orang Alim bersetuju dengan syarat Dia diberikan kain yang sama berat dengan kain cawat yang sedang dipakai-Nya.

Amarneethiyar bersetuju dengan syarat itu. Namun, semua kekayaan Amarneethiyar tidak cukup untuk mengimbangi kain cawat itu. Amarneethiyar meletakkan semua harta bendanya di atas dacing itu. Akhirnya, dia tidak ada apa-apa kecuali anak, isteri, dan dirinya sendiri. 

Dengan berserah kepada Tuhan, Amarneethiyar, membacakan mantera Panchakshara dan menaiki dacing dengan anak dan istetinya. Barulah, dacing itu menjadi seimbang di kedua-dua belah. 

Begitulah kejujuran Amarneethiyar. Tuhan berpuas hati dengan pencinta-Nya dan mencurahkan restu-Nya. 

Pengajaran: 
Tuhan mencurahkan rahmat-Nya kepada orang yang jujur dan setia. Hadapilah segala dugaan hidup dengan tenang. 


Comments

Popular posts from this blog

Pusalar

Tuhan mendengar kata hati yang suci. Kisah Pusalar menunjukkan bagaimana Tuhan mendengar niat pemuja-Nya dan mencurahkan rahmat-Nya.  Pada suatu masa dahulu, Tiruninravur terkenal dengan pendeta-pendeta yang mahir dalam sastera Aagama. Segala ilmu pembinaan kuil Hindu dan pemujaan kuil terkandung dalam Aagama.  Pusalar ialah seorang pendeta miskin di Tiruninravur. Dia telah mempelajari ilmu membina kuil. Jadi tidak hairanlah apabila dia bercita-cita untuk mendirikan sebuah kuil Siva. Kemiskinan tidak membenarkannya memenuhi hasrat hatinya.  Pusalar tidak berputus asa. Dia meneruskan impiannya dengan membina sebuah kuil Siva dalam hatinya. Dengan penuh Bhakti, Pusalar membentuk sebuah kuil yang besar lagi hebat. Apabila kuil itu sempurna, Pusalar menetapkan satu tarikh untuk upacara perasmian kuil di hatinya!   Sementara itu, Rajasimha, raja dinasti Pallava telah menyiapkan pembinaan kuil Kailasanatha di Kanchipuram. Tarikh perasmian kuil...

Nachiketa

Orang-orang Hindu mengutamakan kebenaran lebih daripada kehidupan. Kisah Nachiketa ialah kisah seorang remaja yang berani berhadapan dengan Dewa Maut demi memenuhi kata-kata bapanya!  Nachiketa ialah anak Vajashrava, seorang kaya. Vajashrava melakukan sebuah upacara Yajna (korban) untuk mendapatkan rahmat dewa-dewa. Bagi menyempurnakan upacara korban itu, dia perlu mendermakan segala hartanya kepada orang-orang Brahmin.  Namun, Vajashrava seorang yang tamak. Dia mendermakan lembu-lembu yang tua, cacat, dan tidak berguna. Hati Nachiketa menjadi kecut melihat lembu-lembu yang tidak berguna didermakan. Tidakkah bapanya tahu bahawa hanya sesuatu yang berguna harus didermakan? Perbuatan mendermakan benda-benda buruk adalah suatu dosa. "Aku harus menyelamatkan ayah daripada dosa ini," fikir Nachiketa.  Dengan sopan, Nachiketa menghampiri bapanya dan bertanya, "Ayah, kepada siapakah ayah akan mendermakan saya?" Pada mulanya, Vajashrava mengabaikan p...

Sri Madhvacharya

MENGHAPUSKAN UPACARA KORBAN Pada zaman itu, tinggal seorang Brahmin yang kejam bernama Jaraghatita. Dia melakukan upacara korban haiwan. Dia juga menggunakan minuman keras dalam upacara sembahyang. Perbuatan-perbuatan ini bercanggah dengan ajaran Veda dan Vedanta. Madhva mencabar Jaraghatita untuk membuktikan amalan agamanya dengan menggunakan teks-teks Veda. Dalam khalayak ramai, mereka berdebat dengan hangat. Akhirnya, Madhva mengalahkan fahaman Jaraghatita. Madhva membuktikan bahawa upacara korban haiwan adalah bercanggah dengan ajaran sebenar Veda. Selepas itu, Madhva memperkenalkan tradisi pemujaan yang baru. Dia juga menghapuskan upacara korban haiwan. BERHADAPAN DENGAN PEMERINTAH TURKI Pada suatu ketika, Madhva terpaksa merentasi sungai Ganges. Tebing bertentangan berada di bawah pentadbiran seorang pemerintah Turki. Askar-askar Turki menghalang Madhva merentasi sungai di tempat itu. Madhva tidak mengendahkan mereka. Dengan berani, dia cuba merentasi sungai itu. ...